Sunday 17 March 2013

17. Pua Xin Yee (Semester 2)


REFLEKSI BIG FASA 2

Pua Xin Yee (PISMP PC Kumpulan 2)
            Kursus Bina Insan Guru fasa kedua yang telah dilaksanakan pada 22 September 2012 selama 10 jam telah memberikan pengalaman yang luar biasa bagi saya sendiri. Para guru pelatih dikehendaki menghadiri satu ceramah dan menjalankan aktiviti kemasyarakatan iaitu gotong-royong membersihkan pasar di daerah Dogonggon, Penampang. Aktiviti ini telah dimulakan pada jam 7:30 pagi sehingga 4 petang.

            Sepanjang proses pembersihan yang dijalankan di pasar Dogonggon, Penampang dapat dijalankan dengan begitu lancar atas semangat berkerjasama antara para guru pelatih. Semua guru pelatih telah dibahagikan kepada beberapa kumpulan untuk membersihkan kawasan yang berbeza. Kumpulan kami telah dibahagikan untuk membersihkan lantai yang penuh  dengan rumput. Semua ahli kumpulan termasuklah saya sendiri telah mengamalkan semangat berpasukan untuk melakukan tugasan yang diberi sehingga siap. Melalui kerja secara berkumpulan ini, saya menyedari bahawa semangat bertanggungjawab dalam diri sendiri juga amat penting. Hal ini demikian kerana tanpa nilai bertanggungjawab pada diri sendiri maka seseorang itu tidak akan mempunyai kesedaran untuk melakukan tugasan kumpulan yang diberi dengan bersungguh-sungguh.

            Selain itu, saya juga berpeluang melibatkan diri dalam aktiviti perkhidmatan masyarakat melalui kursus ini. Sepanjang proses pembersihan, saya telah menyedari bahawa kerja pembersihan memerlukan ramai orang supaya kerja dapat dibuat dengan lancar dan tidak mengambil masa yang lama. Kerja pembersihan tidak akan dapat dijalankan jika hanya melibatkan tenaga beberapa orang sahaja. Sehubungan itu, saya menyedari bahawa kebersihan amat penting untuk meningkatkan imej sesuatu daerah. Kawasan seperti longkang terdapat banyak sampah-sarap yang dibuang daripada penjual sayur-sayuran, peniaga dan orang yang mengunjung ke pasar ini. Keadaan ini akan bertambah serius jika tidak wujud kesedaran dalam kalangan orang ramai. Tambahan pula, keadaan alam sekitar yang kotor akan menjejaskan imej negara kita. Pelbagai kesan akan berlaku jika masalah kebersihan tidak ditangani dengan segera.

            Dalam ucapan yang diberikan oleh pihak pasar Donggongon, iaitu Encik Albert dan Cik Noni, saya telah mengetahui sedikit maklumat tentang Anti Kutu Sampah. Tujuan kempen ini memang selaras dengan masalah yang sedang dihadapi oleh pihak pasar Donggongon, Penampang iaitu pembuangan sampah di merata-rata terutamanya longkang. Menurut maklumat yang diberikan oleh kedua-dua orang yang mewakili Anti Kutu Sampah, barulah saya mengetahui kutu sampah membawa erti orang yang membuang sampah merata tempat. Ini adalah perbuatan orang yang tidak bersopan dan tidak berdisplin dan tidak bertanggungjawab. Kutu sampah boleh dikenakan denda kompaun oleh pihak berkuasa sehingga RM 500.00. Semasa menjalankan pembersihan, saya juga mendapati sampah-sarap telah menyebabkan longkang itu mengeluarkan bau yang busuk. Oleh itu, jika dapat mengurangkan orang yang membuang sampah, dan membersihkan longkang yang mempunyai sampah, maka masalah bau busuk juga dapat diatasi.

            Selain itu, objektif utama Bina Insan Guru Fasa Kedua ini juga adalah untuk meningkatkan sikap sanggup memberi komitmen dalam melaksanakan peranan. Melalui perkhidmatan masyarakat dengan tujuan supaya para guru pelatih menyedari bahawa sebagai guru pada masa depan nanti juga perlu memberi komitmen kepada bidang pendidikan tanpa mengira balasan yang akan diperoleh. Kursus Bina Insan Guru Fasa kedua pada kali ini adalah untuk memberikan persediaan kepada guru pelatih bahawa seseorang guru tidak harus mementingkan gaji yang diperoleh tetapi sentiasa mengingatkan diri sendiri tentang tanggungjawab terhadap murid-murid di sekolah. Melalui kursus ini, saya dapat menyedari walaupun dalam proses pembersihan begitu meletihkan, tetapi hasilnya amat memuaskan dan menggembirakan. Oleh itu, sebagai seorang bakal guru, saya haruslah menyedari kepentingan sikap sendiri terhadap pekerjaan ini.

  
GAMBAR-GAMBAR AKTIVITI PERKHIDMATAN MASYARAKAT DI PASAR DONGGONGON, PENAMPANG
Gambar 1: Kerja pembersihan rumput di lantai bagi kumpulan saya.
Gambar 2: Kerja pembersihan rumput di lantai oleh kumpulan lain.
Gambar 3: Kerja pembersihan longkang.
Gambar 4: Kerja pembersihan menyapu lantai di kawasan pasar Donggongon. 
Gambar 5: Taklimat diberikan oleh Encik Ladius, Encik Albert dan Cik Nomi.
Gambar 6: Pemberian cenderamata kepada Encik Albert dan Cik Nomi.


_________________________________________________________________________________

WAJ 3109 Permainan-Hoki

                                                                                                             

No comments:

Post a Comment